Assalamualaikum,
Hari ni saya nak share teks Khutbah yg disediakan Jakim. Agak relevan berkenaan isu semasa sekarang.......
“NILAI KEMANUSIAN”
(29 MEI 2015 / 11 SYA’BAN
1436H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah
SWT,
Pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang
suci ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala
perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling mulia
di sisi Alah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Tajuk khutbah kita pada hari
ini ialah: “NILAI KEMANUSIAN”.
Sidang Jumaat yang dirahmati,
Agama Islam telah menyatakan kepada kita
semua bahawa prinsip kemanusian di dalam
Islam meletakkan seluruh manusia dalam satu keluarga besar yang berasal dari
Nabi Adam AS. Pengertian ini dapat difahami daripada hadith Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling
bersaudara” (Hadis riwayat Abu Daud).
Oleh itu, sebagai agama
yang lengkap, ajaran Islam telah meletakkan nilai kemanusian itu pada satu
kedudukan yang tinggi dan ini telah
digambarkan di dalam ucapan Baginda SAW semasa berada di Padang Arafah,
sehingga ianya memberi nilai yang amat besar kepada kita semua sebagai umat
sesama manusia. Antara pesanan Baginda SAW ialah: “Wahai manusia, ingatlah, sesungguhnya Tuhanmu adalah satu, dan
nenek moyangmu juga satu. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain.
Tidak ada kelebihan bangsa lain terhadap bangsa Arab. Tidak ada kelebihan orang
yang berkulit merah terhadap orang yang berkulit hitam, tidak ada kelebihan
orang yang berkulit hitam terhadap yang berkulit merah, kecuali dengan
taqwanya.” (Riwayat Ahmad, al-Baihaqi,
dan al-Haitsami).
Pesanan yang amat ringkas ini membuat para sahabat begitu
terharu, sehingga pakaian ihram mereka yang putih bersih bersimbah dengan air
mata, menandakan pesanan itu amat berkesan dan sangat berpengaruh terhadap
prilaku mereka. Misi kemanusian inilah yang kemudian dikembangkan dan
diperjuangkan para sahabat, sehingga menjadi umat yang besar dan berwibawa yang
dikagumi oleh semua bangsa di dunia. Ingatlah bahawa nilai
kemanusian umat Islam berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai
pautan kejiwaan dan kerohanian. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat
10:
Maksudnya: “Sebenarnya orang
yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu;
dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”.
Dan sabda
Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Bandingan orang-orang mukmin yang berkasih sayang dan berkasihan belas
dan menaruh simpati adalah tak ubah
seperti satu jasad, di mana kalau salah satu anggota mengalami kesakitan maka
seluruh badan akan turut berjaga malam dan demam. ” (Riwayat Muslim)
Sidang Jumaat yang dirahmati,
Dalam Islam nilai kemanusian telah digariskan di dalam
beberapa perkara antaranya ialah, pertama; Islam
memberi jaminan hak untuk semua manusia sebagaimana termaktub dalam Piagam
Madinah. Kedua: Islam memelihara dan menghargai nyawa setiap manusia. Agama Islam amat menghargai dan memelihara nyawa
setiap manusia, kerana itulah melakukan pembunuhan terhadap seseorang tanpa hak
dilarang dalam Islam. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190:
Maksudnya: “Dan perangilah kerana (menegakkan
dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu. Dan
janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”
Ketiga: Memelihara hak keamanan,
kemerdekaan dan keadilan sejagat dan keempat: Islam memberi kebebasan
beragama. Sepanjang sejarah Islam tidak pernah wujud sebarang paksaan, kerana
Islam berkembang melalui dakwah secara berhikmah. Tidak ada seorang pun dibunuh kerana
keengganan memeluk Islam bahkan Islam tidak membenarkan unsur-unsur paksaan
sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak bahawa agama Islam tersebar melalui peperangan dan
pertumpahan darah.
Sidang Jumaat yang dirahmati,
Pada ketika ini negara kita dikejutkan dengan isu
kemanusian antaranya pelarian
Rohingya yang hanyut di lautan, mencari tempat perlindungan. Secara ringkasnya, mimbar ingin menyatakan bahawa
rakyat Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara negeri Rakhine yang terletak di barat Burma.
Sebagai umat Islam yang
beriman, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab dan
perhatian kepada isu kemanusian ini, kerana mereka sebahagian dari umat manusia
yang memerlukan pembelaan dan pertolongan dari kita semua. Ingatlah bahawa ajaran Islam telah menetapkan bahawa
aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) adalah suatu tuntutan atau
agenda tertinggi dan ianya melangkau sempadan negara dan bangsa. Andaikata
aktiviti amar makruf ini tidak dipedulikan, maka kita akan menyaksikan
keperitan dan kesusahan hidup yang dialami ini akan berpanjangan. Hulurkanlah
segala bantuan yang termampu samada dari segi fizikal atau pemikiran demi
membebaskan segala permasalah yang dihadapinya agar dapat hidup sempurna, aman
dan damai sebagaimana umat Islam yang lain. Mimbar juga mengutuk
sekeras-kerasnya isu pemerdagangan manusia yang berlaku pada ketika ini, kerana
ianya menyalahi dengan syariat agama dan bertentangan nilai kemanusian. Mimbar
menyeru kepada pihak berwajib agar mengambil tidakan yang sewajarnya kepada
mereka yang terlibat di dalam jenayah ini. Kepada semua umat Islam, marilah kita
berkerjasama dalam menangani isu-isu ini berteraskan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2,
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya
Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Sidang Jumaat yang dirahmati,
Mimbar ingin menyatakan sejak akhir-akhir
ini juga, pengaitan pelampau dan keganasan
dengan Islam sudah menjadi
lumrah, samada di peringkat
dalaman mahupun antarabangsa. Hasil daripada
gejala yang berlaku
ini, Islam dilihat oleh sesetengah pihak sebagai
agama pelampau yang menggalakkan keganasan, dan menerimanya sebagai suatu agenda dalam jihad. Malah, kadangkala ia dilihat sebagai jihad
itu sendiri. Oleh itu, mimbar yang mulia ingin mengingatkan sidang jumaat dan
umat Islam sekalian, bahawa isu jihad dikaitkan dengan pelampau agama kembali
hangat diperkatakan, ini dibuktikan apabila pendedahan tentang segelintir umat
Islam dan rakyat negara ini menyertai gerakan kumpulan militan Daulah Islamiah atau
dikenali sebagai Islamik State (IS). Kumpulan ini berjaya mempengaruhi
sebahagian kecil umat Islam termasuklah ahli akademi di negara ini dan di
seluruh dunia untuk berjuang atas nama jihad. Mereka dilihat sebagai pelampau
agama, sanggup membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira orang Islam atau bukan
Islam, mereka juga menghalalkan tindakan yang lebih agresif dan kemusnahan
harta benda walaupun melibatkan hak saudara seagama mereka sendiri atas nama
jihad.
Justeru, sebagai umat Islam kita
hendaklah menolak segala usaha untuk menyebar luas gerakan kumpulan ini.
Percayalah bahawa gerakan kumpulan IS bertentangan dengan prinsip ahlu sunnah
wajamaah dan ajaran Islam serta prinsip jihad yang sebenar. Allah
SWT telah memberi peringatan ini sepertimana firman-Nya di dalam surah Ali-
Imran ayat 142:
Bermaksud: Adakah kamu menyangka
bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah orang yang
berjihad di antara kamu, dan belum lagi nyata orang yang sabar, tabah dan cekal
hati dalam perjuangan?
Sidang Jumaat yang dirahmati,
Mengakhiri khutbah
pada minggu ini, mimbar memperingatkan kepada para jemaah dan umat Islam
sekalian, marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang bertanggungjawab
diatas nilai kemanusian ini. Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam dan rakyat
Malaysia untuk sama-sama memainkan peranan dengan menggerakkan aktiviti dakwah,
menghulurkan segala bantuan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan
tanpa mengira bangsa dan warna kulit, agar bebanan yang ditanggung oleh umat
seagama kita dapat diringankan. Maha Suci Allah SWT
menganugerahi manusia di pelusuk dunia ini dengan nikmat keamanan dan kebebasan
agar kita menjadi umat yang bertaqwa, yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah
kepada kemungkaran. Semoga dengan itu iman kita terus bertambah dalam
matlamat memakmurkan bumi Allah dengan benih-benih kebaikan akan berpanjangan. Sebagai umat Islam yang beriman kita juga perlu
memahami bahawa tuntutan dan pengertian jihad begitu luas dan ianya merangkumi
keseluruhan keperluan hidup manusia. Ingatlah bahawa inilah negara kita negara yang akan
kita wariskan kepada anak cucu dan keturunan kita. Oleh itu, segala gerakan
pelampau yang boleh membawa kepada keganasan semestinya dihindarkan, janganlah
sesekali kita biarkan golongan-golongan pelampau ini menghancurkannya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah
al-Ra’d ayat 11:
Maksudnya: Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari
hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya
Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah
keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada
pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.
Comments
Post a Comment