Assalamualaikum,
Semacam biasa, sharing teks khutbah Jumaat yang disediakan JAKIM. Semoga memberi manfaat pada semua.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Semacam biasa, sharing teks khutbah Jumaat yang disediakan JAKIM. Semoga memberi manfaat pada semua.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya
berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa
kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan
dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena
dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, maka mimbar yang mulia akan membincangkan khutbah bertajuk: “Toleransi
Ummah”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sesebuah negara tidak hanya ditegakkan atas
asas perundangan semata-mata, akan tetapi ianya perlulah berteraskan kepada
beberapa prinsip antaranya ialah toleransi ummah dalam masyarakat berbilang
kaum dan agama. Apakah yang dimaksudkan dengan toleransi
ummah ini?. Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan secara ringkasnya toleransi
merujuk kepada sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat yang memberi erti tidak idealisme,
tidak fanatik, tidak selfish iaitu mementingkan diri sendiri, mempunyai
sikap keterbukaan, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak
orang lain. Mereka yang mengamalkan sikap toleransi berupaya menanggung sesuatu
tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk
orang lain, bersikap terbuka dan berlapang dada. Ciri-ciri tersebut adalah
penting untuk dipraktikan dalam kehidupan sebuah masyarakat majmuk supaya
keharmonian terselah dan keamanan dapat dihayati oleh semua pihak.
Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa toleransi sesama
manusia dalam Islam adalah berasaskan ta'awanu alal-birri wattaqwa iaitu
bekerjasama di atas dasar kebaikan dan taqwa. Ini dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam
kitabnya, Riyadhus Salihin. Beliau membicarakannya dalam bab yang khas
bertajuk Bab kelebihan bergaul dengan manusia serta menghadiri perjumpaan
dan perkumpulan mereka yang baik, majlis zikir bersama mereka, menziarahi mereka
yang sakit dan yang meninggal, membantu yang memerlukan, membimbing mereka yang
jahil dan selainnya yang mempunyai kebajikan, bagi yang mampu menyuruh kepada
yang makruf dan mencegah mungkar serta menahan diri daripada menyakiti dan
bersabar apabila disakiti. Oleh itu, agama Islam ialah agama yang berteraskan
toleransi dan perkara ini telah dijelaskan dengan tegas di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8:
Bermaksud: “Allah tidak melarang kamu
daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi
kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
Berasaskan ayat ini, jelas bahawa perbezaan
agama bukanlah alasan untuk tidak berlaku adil. Justeru, berlaku adil dan
berkelakuan baik terhadap orang lain yang berbeza keyakinan merupakan
sebahagian daripada syarat terpenting yang membawa kepada sifat toleransi.
Muslimin Yang
Dirahmati Allah,
Bagaimanakah cara yang sesuai untuk kita merealisasikan toleransi ummah ini
agar semua kaum dapat menerimanya?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pendekatan wasatiyah
yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada pembinaan
toleransi di negara ini. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu
secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman
ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada masa yang sama Islam terus
dihargai atau dimartabatkan. Keadaan ini bertepatan dengan firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat 143:
Maksudnya: “Dan
demikianlah( sebagai mana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus ) Kami
jadikan kamu(wahai umat Muhamad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu
layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia(tentang yang
benar dan salah) dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan
kamu.”
Mimbar yang mulia ini ingin
menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang digubal menjelang Kemerdekaan
Tanah Melayu jelas mengandungi nilai-nilai wasatiyyah iaitu supaya
berlaku adil, kepada semua kaum, berimbang dan sederhana dalam amalan dan
tindakan mereka. Kontrak sosial telah dipersetujui
dengan persefahaman antara kaum diikat kuat di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kontrak sosial yang diterima pemimpin pelbagai kaum telah mengamalkan prinsip wasatiyyah
yang mempunyai nilai kesederhanaan bagi mewujudkan ummatan wasata.
Namun berdasarkan kepada
pemerhatian mimbar akhir-akhir ini terdapat segelintir mereka yang cuba
mengherot-berotkan toleransi ini dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku.
Mereka sengaja menggunakan pelbagai isu untuk menggugat kontrak sosial yang
telah diperakukan bersama. Demi mengejar kuasa dan pengaruh, mereka berani mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah
dan bidangkuasa Raja sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu di negara
ini. Mereka juga memperlekeh dan menghina hak peribadi umat Islam. Lihatlah
dengan mata hati kita apa yang sedang berlaku saat ini!..inilah akibatnya jika
ada segolongan manusia yang terlampau taksub dengan kepentingan peribadi
sehinggakan melampaui batas dan tidak sedar di mana bumi yang mereka pijak dan langit
mana yang perlu mereka junjung.
Apa yang mendukacitakan
masih terdapat segelintir masyarakat yang salah faham, tidak boleh menerima
nasihat dan tidak puas hati dalam isu-isu tertentu seperti agama, etnik dan hak
asasi manusia. Buktinya, statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang
menerima sebanyak 853 laporan daripada 33 kes melibatkan isu sensitif perkauman sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2014
di seluruh negara. Mimbar ingin menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil sesuatu tindakan
menurut hawa nafsu semata-mata dan tidak mengikut telunjuk pihak yang mempunyai
kepentingan peribadi dengan mengap-apikan isu toleransi yang telah disepakati
bersama, kerana ianya dikhuatiri akan menyalakan api permusuhan antara kita,
yang seterusnya akan menggugat keharmonian dan keamanan negara.
Seharusnya sebagai umat Islam kita hendaklah
jangan tersilap langkah dalam memahami tuntutan toleransi ummah ini. Namun
perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan hendaklah berteraskan kepada prinsip
Islam yang berlandaskan kepada al-Quran dan al-sunnah. Kita juga tidak boleh
mengenepikan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mimbar
ingin berpesan bahawa umat Islam yang menjiwai makna toleransi
adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu
sama lain. Ingatlah bahawa keharmonian kaum dan perpaduan rakyat dalam negara ini sebenarnya wujud berasaskan
kepada gabungan kepelbagaian faktor
antaranya melalui semangat
kerjasama, kompromi dan persefahaman.
Janganlah ada antara kita cuba menghancurkan apa yang telah
kita capai selama
ini melalui sifat toleransi, persefahaman dan bertolak
ansur. Janganlah kita membiarkan fahaman yang ekstrem
menguasai pemikiran pihak yang berkepentingan dan berniat jahat untuk memecahbelahkan negara
yang kita cintai. Ingatlah bahawa tanah inilah
tempat kelahiran kita,
rumah kita, tempat mengalirkan keringat untuk kita mencari
rezeki bagi menyara diri dan keluarga kita dan akhirnya sebagai tempat persemadian kita.
Muslimin Yang
Dirahmati Allah,
Bersempena dengan sambutan Hari
Malaysia pada tahun ini, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam,
marilah sama-sama kita membina toleransi di kalangan kita dalam semua perkara serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara
yang telah dipersetujui. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap
ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik
negara. Mimbar ingin berpesan usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita
sanggup meruntuhkan perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa dan
maruah yang ada.
Demi Islam dan masa depan ummah..inilah masanya kita mesti bersatu
tanpa mengira fahaman politik dan singkirkanlah segala anasir jahat yang cuba
mencabar perlembagaan negara dan berusaha untuk memesongkan fikiran kita.
Fikirkanlah dengan akal yang bijaksana dan hentikanlah sikap yang terlalu mudah
mempercayai khabar angin dan hasutan pihak-pihak musuh tanpa mengambil kira
baik buruk kesannya kepada agama dan bangsa kita, ambillah iktibar dan ingatan
daripada penindasan yang sedang berlaku kepada umat Islam di luar negara
sebelum ia berlaku juga kepada kita. Ingatlah pesanan dari
Raja kita bahawa “ rakyat perlu
diinsafkan supaya jangan cepat membuang pelita kerana riang melihatkan fajar
yang akan menyinsing kerana siang hari juga akan berakhir, jangan nanti bila
malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba.”
Sekali lagi mimbar
mengingatkan bahawa toleransi merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT
yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di
dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini
terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan
umatnya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-A’raf
ayat 96:
Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami
bukakan kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah keberkatan dari
langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan
mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
Comments
Post a Comment