Solat jenazah / sembahyang mayat

Assalamualaikum,
 
Dalam kurang lebih satu tahun ni, ada 3 ahli keluarga saya telah pergi meninggalkan dunia. Yang pertama ialah Tuk saya yg berasal dari Perlis. Sebulan lebih sedikit selepas itu, Wan saya, suami kepada arwah Tuk pula kembali ke rahmatullah. Dekat jer jaraknya. Sehidup, semati. Susah nak dapat tu....Dan yang paling latest, lima hari sebelum hari raya yang lepas, Opah, nenek kepada isteri saya pula yang meninggal.

Saya, sebagai cucu kepada semua Allahyarham dan Allahyarhamah tadi, ada berpeluang untuk menunaikan satu fardu kifayah kepada mereka. Satu peluang untuk meringankan beban si mati dan satu peluang untuk cuba menaikkan darjat mereka di sisi Allah. Apakah peluang itu? Apakah fardu kifayah itu? Jawabnya, menunaikan solat jenazah atau sembahyang mayat buat jenazah tadi.

Hari ni saya nak sharekan sedikit cara-cara menunaikan solat jenazah. Bukannya apa, solat jenazah ni ialah satu perkara yang saya jarang-jarang lakukan. Jadi, tak ingat apa niatnya, apa nak dibaca, apa tertibnya dan macam-macam lagi. Jadi, harapnya bila dah ditulis di blog sendiri nih, senang la sikit saya jadikan rujukan. Tak ler nanti tergopoh-gapah, ke sana ke mari mencari macam mana nak bersolat jenazah. Sumber rujukan saya ialah buku yang ditulis oleh Ustaz Ismail Kamus yang bertajuk Indahnya Hidup Bersyariat.

Syarat sah solat jenazah

1. Mestilah menutup aurat.
2. Suci daripada hadas kecil dan juga besar serta suci daripada segala najis.
3. Perlu mengadap kiblat.

Rukun solat jenazah

1. Berdiri betul bagi yang berkuasa.
2. Niat
 
Lafaz niat (Lelaki)

أُصَلِّي عَلَى هَذَا المَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الكِفَا يَةِ إِ مَا مًا / مَاْ مُو مًا لِلهِ  تَعَالَى
"Sengaja aku solat ke atas mayat (lelaki) ini empat takbir fardu kifayah menjadi imam / makmum kerana Allah taala"
 
Lafaz niat (Perempuan)
 
أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ المَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الكِفَا يَةِ إِ مَا مًا / مَاْ مُو مًا لِلهِ  تَعَالَى
 "Sengaja aku solat ke atas mayat (perempuan) ini empat takbir fardu kifayah menjadi imam / makmum kerana Allah taala"

Lafaz niat (Kanak-kanak lelaki)

أُصَلِّي عَلَى هَذَا المَيِّتِ الطِّفْلِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الكِفَا يَةِ إِ مَا مًا / مَاْ مُو مًا لِلهِ  تَعَالَى
"Sengaja aku solat ke atas mayat kanak-kanak (lelaki) ini empat takbir fardu kifayah menjadi imam / makmum kerana Allah taala"

Lafaz niat (Kanak-kanak perempuan)

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ المَيِّتِ الطِّفْلَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الكِفَا يَةِ إِ مَا مًا / مَاْ مُو مًا لِلهِ  تَعَالَى
"Sengaja aku solat ke atas mayat kanak-kanak (perempuan) ini empat takbir fardu kifayah menjadi imam / makmum kerana Allah taala"

3. Takbir iaitu sebanyak 4 kali termasuk takbiratulihram.
4. Membaca surah al-Fatihah (selepas takbir yang pertama).
5. Membaca selawat sekurang-kurangnya seperti yang dibawah (selepas takbir yang kedua).

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

6. Membaca doa seperti berikut (selepas takbir yang ketiga).

Bagi lelaki

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
"Ya Allah! Ampunkanlah dah rahmatilah dia (lelaki). Afiatkanlah dia dan ampunkanlah dia."

Bagi perempuan

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا
"Ya Allah! Ampunkanlah dah rahmatilah dia (perempuan). Afiatkanlah dia dan ampunkanlah dia."

**Doa sebenarnya lebih panjang dari apa yang saya tulis di atas tadi. Boleh rujuk buku Indahnya Hidup Bersyariat untuk doa yang sepenuhnya. Yang saya share ni pendek sahaja doanya supaya lebih senang dihafal**

7. Memberi salam (selepas takbir yang keempat). Rukun pada salam yang pertama sahaja.

.......selesai sudah solat jenazah tadi. Cukup rukunnya tadi, maka sempurnalah jadinya.
Saya ingin meminta jasa baik kepada para sahabat yg membaca pada blog ini untuk menegur kalau ada salah dan silap.
Untuk pengetahuan semua, saya menggunakan Arabic Keyboard untuk menaip niat, selawat dan doa yang saya share diatas.

Salam.......
 


Comments