Assalamualaikum,
Untuk kali ini, saya cuba tuliskan secara keseluruhan apa yang cuba disampaikan oleh Khatib semasa Khutbah Jumaat. Sebelum ini saya selalu sampaikan intipatinya sahaja, tetapi untuk kali ini dan seterusnya saya cuba untuk sampaikan secara keseluruhan khutbah tersebut.
___________________________________________________
Sidang jemaah Jumaat yang berbahagia sekalian. Wahai hamba Allah marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Bertaqwalah kepada Allah yang menjanjikan segala-galanya kepada kita, yang berupa nikmat kesenangan samada di dunia dan juga di akhirat.
Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Hadid Ayat 22 hingga23.
Seseorang itu ada hari dia bersedih dan ada hari dia bergembira, tetapi sesiapa yang didatangi musibah dan dia bersabar dengannya dan diselangi dengan kebaikan serta bersyukur keatasnya, maka dialah insan yang beriman. Muslimin yang dihormati Allah SWT sekelian, sesungguhnya manusia yang benar-benar memahami hakikat takdir pasti hidupnya dihiasi kebahagian dan kesenangan. Disaat kegembiraan datang, dia sambut dengan kesederhanaan dan kesyukuran kerana dia tahu kerana kegembiraan yang datang sudah ditetapkan untuknya. Dan dikala kesedihan dan kesusahan pula yang datang, disambutnya dengan sabar kerana dia juga tahu segalanya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya ketetapan itu bukan datang dari manusia yang jahil lagi zalim tetapi ianya dari Allah, tuhan yang maha bijaksana dan lagi mengasihani. Muslimin sidang jemaah Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, redha membawa makna ketenangan hati dibawah ketentuan Allah. Redha kerana dia yakin. Ya Allah jadikanlah aku seorang yang selalu memuji Mu, dengan pujian yang dapat ku menjadikannya sebagai syukur atas nikmat yang telah engkau kurniakan kepadaku. Muslimin sidang Jumaat yang berbahagia sekalian, tidak dinamakan redha seandainya kita hanya tersenyum menerima berita baik sahaja. Tidak dinamakan redha seandainya kita terus meninggalkan jemaah di masjid selepas kita diuji pulang berkaki ayam dari masjid setelah kasut kita hilang diambil orang. Tidak dinamakan redha seandainya kita mengeluh atas benda-benda tidak baik yang berlaku ke atas kita walaupun perkara itu kecil sahaja. Kita bukan seorang yang redha seandainya kita membenci ibu dan ayah yang sedikit menyusahkan kita di kala usia mereka yang sudah lanjut. Sesungguhnya setiap ujian itu datangnya dari Allah, maka bergembiralah kerana setiap yang telah ditetapkan ada hikmahnya.Anggaplah segala ujian yang telah didatangkan ke atas kita untuk membiasakan diri kita dengan kesabaran. Sesiapa yang hatinya teguh dan redha, baginya keredhaan dari Allah SWT. Ingatlah wahai hamba Allah, kadangkala sesuatu yang kita benci itu sebenarnya baik bagi kita dan kadangkala apa yang kita suka itu buruk bagi kita.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah Ayat 216.
Comments
Post a Comment