Assalamualaikum,
Seperti yg saya sampaikan dlm post saya minggu sudah tentang Khutbah Jumaat, minggu ini saya akan keep on sharing teks Khutbah Jumaat yang disediakan Jakim. Khutbahnya sangat relevan dan saya amat gemar bila isu semasa disentuh. Semoga dapat menjadi pedoman kepada kita semua.
Link untuk Khutbah Jumaat Jakim ada di bawah ini:
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada
diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada
Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan
dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: “PATRIOTISME ASAS KEMERDEKAAN”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Bersempena dengan Sambutan Hari kemerdekaan Negara kali
yang ke 57 yang bertemakan “Malaysia di sini lahirnya sebuah cinta”,
maka mimbar yang mulia pada hari ini menyeru sidang jumaat dan umat Islam
sekalian marilah sama-sama kita menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT
yang telah memberi nikmat kemerdekaan kepada kita. Seorang sahabat Rub'i bin
A'mir pernah menjelaskan ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama
Rustum tentang hakikat Kemerdekaan dengan katanya yang bermaksud: “Allah
mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia daripada
mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada
kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia
kepada keluasan dunia dan akhirat”.
Justeru, mimbar Jumaat ingin mengajak
para jemaah dan umat Islam sekalian untuk mensyukuri nikmat kemerdekaan yang
kita kecapi agar nikmat ini terus berkekalan dan kemakmuran negara akan
sentiasa bertambah dengan agenda-agenda yang berfaedah untuk kesejahteraan
rakyat dan diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7:
Maksudnya: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya!
Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras. ”
Namun, persoalan besar timbul di sini bagaimanakah
kemerdekaan dapat di kekalkan di negara ini?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa semangat patriotisme merupakan asas kepada kemerdekaan. Secara ringkasnya mimbar ingin
menyatakan bahawa nilai patriotisme
bolehlah ditakrifkan sebagai satu semangat dan gagasan dalam mendidik
dan memberi kefahaman kepada umat manusia agar mencintai kehidupan dan tanah
air.
Percayalah agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan
jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk
mempertahankan keselamatan dan maruah negara apatah
lagi jika sesebuah negara itu adalah negara umat Islam. Seseorang
itu dianggap berjiwa patriot apabila kepercayaan, amalan dan tindakannya menepati ciri-ciri patriotisme
yang berteraskan kecintaan
dan
kesetiaan kepada negara.
Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting sekali
seperti yang sering disebut iaitu kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Syeikh Daud Abdullah
al-Fatani, seorang ulama besar Patani pernah mengingatkan bahawa: mempertahankan
negara daripada penjajahan
ataupun tekanan kuasa asing (khususnya kafir harbi) adalah fardu ain. Tanpa semangat ini,
kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan.
Maka, menjadi kewajipan kita sebagai rakyat
memelihara kedaulatan negara ini daripada segala ancaman samada dalam bentuk
dalaman mahupun luaran. Janganlah ada di kalangan kita yang bersikap mementingkan
diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan di negara kita terancam, retak
dan hancur. Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui
firman-Nya di dalam surah al-An’am ayat 123:
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mimbar ingin menegaskan bahawa agama Islam
sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya
berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah
negara. Sehubungan itu, usahlah ada dikalangan
kita yang menganggap patriotisme hanyalah perkara remeh dan tiada kaitannya
dengan dosa pahala atau perintah agama. Lebih malang lagi jika ada yang
memandang sinis dengan patriotisme dan menganggap ia hanya keperluanpihak yang
tertentu sahaja. Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk
menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu
sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk
menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh
yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah
mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan
disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya ”.
Yakinlah, semangat patriotisme kepada negara ini menuntut
kita agar patuh dan taat kepada pemimpin yang adil dan berpegang teguh kepada
agama secara menyeluruh. Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada
al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan
bahawa taat kepada pemerintah adalah fardhu kepada setiap muslim selagi mana
tidak bercanggah dengan syariat Islam manakala menderhaka merupakan satu dosa
besar. Sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Tiga golongan Allah SWT
tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih
dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia
kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia
tunaikan kesetiaanya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.”
(Riwayat al-Bukhari)
Sedarlah, pada hari ini pelbagai cara sedang dilakukan
oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan patriotisme ummah di
antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah
samada melalui media sosial seperti facebook, email, whatsapp,
SMS dan sebagainya. Penjajahan minda di bawah media baru yang canggih
menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi. Segala maklumat memenuhi
ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan. Proses pendemokrasian
maklumat ini berjalan begitu pantas dan sebenarnya media massa mempunyai
pengaruh yang besar dalam mencanai pemikiran rakyat.
Umat
Islam di serang dan di cabar jiwanya.
Penghinaan kepada umat Islam secara berterusan seperti menghina institusi
Di Raja, mempertikai perlembagaan
negara, memperlekehkan hak-hak eksklusif ummah seperti kalimah Allah,
Masjid dan sebagainya, mempersendakan ibadah umat Islam seperti menghina bulan
Ramadhan dengan hidangan binatang yang haram di sisi Islam dan yang paling
malang lagi dan boleh menggugat perpaduan ummah sehingga ada yang sanggup menghina
Rasulullah SAW.
Mimbar
ingin menegaskan sebagai umat Islam, maka menjadi kewajipan untuk meletakkan
kepentingan agama dan akidah di tempat yang teratas. Segala perkara yang
merosakkan agama dan akidah wajib dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib
dibanteras. Umat Islam yang menjaga agama akan menjadi seorang yang
berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan
akhlak dan moral. Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang
semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan
kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.
Mimbar ingin menegaskan bahawa sikap tidak kasih
kepada negara, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum, dan
mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara. Mereka
ini diibarat kata pepatah seperti “Gunting Dalam Lipatan” yang membahayakan
keselamatan rakyat dan negara. Usaha untuk menjatuhkan negara dan mengkhianati pemerintah bukanlah perbuatan
mereka yang sayangkan Islam. Berusahalah kita untuk menyedarkan golongan ini
dengan penuh hikmah kerana tindakan mereka ini ibarat memberi senjata dan
laluan kepada musuh untuk menjatuhkan Islam. Ingatlah bahawa Imam al-Ghazali
Rahimahullah pernah berpesan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa: “Dunia ini tempat bercucuk
tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dengan
dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang
utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang,
maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang”.
Sidang Jumaat Yang Dihormati,
Pada saat yang
mulia dan penuh barakah ini, mimbar menyeru kepada seluruh muslimin dan
muslimat negara ini agar kita sama-sama berdoa mudah-mudahan negara kita senantiasa
berada dalam inayah dan rahmat Allah SWT, dijaga keselamatan dan keamanan dan
di jauhi dari segala kehancuran serta kemusnahan. Kemerdekaan yang dikecapi
lebih lima dekad yang lalu perlulah diisi dengan semangat patriotisme,
pembangunan dari segenap aspek samada fizikal, mental dan spiritual dan
dibangunkan dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa,
budaya dan seni warisan bangsa.
Marilah sama-sama kita mengisi Hari
Kemerdekaan dengan nilai keimanan dan ketaqwaan yang sejati. Melaksanakan
segala amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh integriti kerana ianya
sebahagian daripada syahadah dan ikrar kita kepada Allah SWT. Pendekatan
ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan mengutamakan
iman dalam kehidupan ini sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia dan
di akhirat kelak.
Tanamkanlah dalam jiwa dan minda umat
Islam perasaan persaudaraan serta semangat patriotisme kepada negara. Ingatlah
di sinilah kita dilahirkan dan dibesarkan, inilah bumi warisan yang bertuah
tempat kita mencari rezeki dan sebagainya. Yakinlah bahawa semangat patriotisme berteraskan kepada keimanan
dan ketaqwaan kepada Allah SWT adalah asas kemerdekaan. Semoga negara kita yang
tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta perlindungan
kepada Islam dan umatnya. Mengakhiri khutbah, marilah kita mengambil manfaat
dan iktibar melalui sepotong ayat al-Quran dari surah al-A’raf ayat 96:
Comments
Post a Comment