Assalamualaikum,
Insyaallah, bermula dari hari ini, saya akan share teks kandungan Khutbah Jumaat yg disediakan oleh pihak Jakim pada setiap kali Jumaat. Saya dapat lihat teks Khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak Jakim adalah lebih bersifat relevan, lebih khusus dan kena dgn isu-isu semasa. Saya berharap, kita semua dapat beroleh manfaat dan lebih mudah menghayati mesej dan isi yg hendak disampaikan.
KHUTBAH KHAS HARI BERKABUNG
TAJUK : “HAKIKAT LAUH MAHFUZ”
(26 SYAWAL 1435H / 22 OGOS 2014 )
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. BERSEMPENA DENGAN HARI BERKABUNG NEGARA KITA PADA HARI INI, maka mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk: “HAKIKAT LAUH MAHFUZ”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sebagai seorang Islam yang berpegang teguh kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam hal ini Allah SWT telah mencatatkannya di dalam kitab lauh mahfuz sebagai tempat untuk menyimpan segala rahsia yang ada dilangit dan di bumi dari permulaan zaman hingga ke akhir zaman. Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan Lauh Mahfuz itu?. secara ringkasnya ada ulama’ yang menceritakan tentang hakikat Lauh Mahfuz iaitu ianya merupakan kitab suratan yang dituliskan qada’dan qadar semua makhluk sebelum dijadikan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 70:
Bermaksud: “Bukanlah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.”
Dan firman Allah SWT lagi di dalam surah al-Hadid ayat 22
Bermaksud: “Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”.
Menurut Ibn Atiyah dan Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan kitab di dalam ayat ini ialah Lauh mahfuz. Daripada Ibnu Mas’ud katanya: Bahawa sesungguhnya bila nutfah itu sudah menetap di dalam rahim, malaikat akan mengambil dan meletakkannya di telapak tangannya sambil berkata: Tuhanku apakah untuk diciptakan atau tidak diciptakan?. Jika dijawab untuk tidak diciptakan, iapun tidak menjadi manusia, ia akan lebur menjadi darah. Sebaliknya jika dijawab diciptakan, malaikat pun berkata: Adakah lelaki atau perempuan, sengsara atau bahagia?, bagaimana ajalnya, berapa umurnya, apa peninggalannya, apa rezekinya, dan di bumi manakah ia akan mati. Allah SWT kemudian berfirman: pergilah ke lauh mahfuz di sana kau akan mendapat nuthfah itu. Dikatakan kepada nutfah: siapakah tuhanmu? jawabnya Allah, ditanya pula: siapakah yang memberi rezeki kepadamu, Jawabnya, Allah, lalu diciptakan dia menjadi manusia, hidup bersama-sama keluarga dan makan rezeki yang dikurniakan kepadanya. Jika datanglah ajalnya, dia akan meninggal dan dikebumikan di tempat tersebut. (Riwayat al-Hakim)
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Berdasarkan kepada ketentuan Allah SWT di lauh Mahfuz ini, maka kita sebagai seorang Islam mesti yakin dan percaya bahawa kematian merupakan satu perkara yang telah ditentukan. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, bagaimana suasana dan caranya namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para nabi, rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Bermaksud:“ Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat”.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa menerima kematian sebagai satu ketentuan Allah SWT mengandungi banyak hikmah antaranya ialah, Pertama: Dapat memperkukuhkan keimanan dan menimbul rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya. Ibnu Qayyim pernah berkata: “Allah SWT menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan, iaitu alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi. Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri”. Percayalah bahawa Allah SWT menentukan sesuatu kejadian itu dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Memetik kata kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid al-Baghdadi bahawa: Bala dan ujian adalah pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa ujian dengan redha dan bersabar.
Kedua: Dapat menambahkan keteguhan hati dan kesabaran. Mereka yang memiliki keteguhan hati dan kesabaran yang tinggi tidak akan berputus asa, tindakannya selalu tenang, tanpa terburu-buru ataupun bimbang kerana mereka sedar bahawa segala ketentuan perjalanan hidup ini adalah hak mutlak Allah SWT. Renungilah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah, Radiallahu-Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “tidak ada satu musibahpun yang menimpa diri seorang muslim, sama ada yang berupa kesusahan,dan penderitaan,kesedihan dan kedukaaan, ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang menyucuk kakinya (anggotanya) melainkan dihapuskan oleh Allah SWT dengan itu sebahagian dari kesalahannya”
(Riwayat al-Bukhari)
Ketiga: Lahir perasaan tanggungjawab hendak membimbing diri dan keluarga supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah SWT serta timbul rasa kasih sayang serta mahabbah sesama manusia, khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat. Percayalah bahawa kita sebagai manusia diikat dengan satu perasaan kasih sayang. Oleh sebab itulah setiap kali kita ditimpa musibah kematian, maka hati kita tercuit dengan rasa kesedihan dan kepiluan.
Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid RA katanya: Kami sedang berada di sisi Rasulullah SAW ketika salah seorang dari puteri Baginda menyuruh seseorang untuk memanggil Baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri Baginda itu berada dalam keadaan nazak. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada orang suruhan tersebut: Kembalilah kepadanya dan katakan bahawa yang diambil oleh Allah adalah milik-Nya dan apa yang diberi oleh Allah juga milik-Nya. Segala sesuatu di sisi-Nya akan berakhir, mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah. Orang suruhan itu kemudiannya kembali mengadap Rasulullah SAW dan berkata: Dia berjanji akan menunaikan pesanan itu. Kemudian Nabi SAW berdiri diikuti oleh Saad bin Ubadah dan Muaz bin Jabal RA. Lalu diangkatkan kepada Rasulullah SAW dan diserahkan anak (dari puteri Baginda) yang nafasnya masih tersekat-sekat, seolah-olah dia berada di dalam satu qirbah (bekas air) yang lusuh. Kedua-dua mata Rasulullah SAW mulai berlinangan. Saad bertanya: Apa ertinya ini wahai Rasulullah? Rasulullah SAW lalu bersabda: lni adalah rahmat (belas-kasihan) yang diletakkan oleh Allah di hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hamba-Nya yang mempunyai rasa belas-kasihan. )Riwayat Muslim)
Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar RA ketika berhadapan dengan kewafatan Nabi SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab RA yang masih terkejut dengan pemergian Nabi SAW seraya berkata: ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita ketahui, pada hari ini 22hb Ogos 2014, pihak Kerajaan kita telah mengisytiharkan Hari berkabung negara sebagai penghormatan berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia, mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Timur Ukraine. Oleh itu mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa hendaklah, bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang di seluruh negara. Marilah sama-sama kita melaksanakan solat jenazah secara ghaib di tempat masing- masing.
Marilah bersama-sama kita mendoakan kesejahteraan kepada saudara mara dan sahabat handai kita yang telah pergi meninggalkan kita dalam tregedi MH17. Kita mendoakan semoga roh mereka dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Kepada seluruh kaum keluarga mangsa tragedi MH17 kita ucapkan takziah, kita juga mendoakan semoga diberi kekuatan dan ketabahan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini.
Kita doakan juga agar negara dijauhkan daripada segala malapetaka dan kehancuran, dikekalkan nikmat keamanan. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman. Sesungguhnya setiap yang hidup itu pasti akan mati, walaupun di mana jua kita berada samada di darat, laut ataupun di udara. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 34:
Bermaksud: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari Kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada dapat diketahui oleh seseorang itu di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya”.
Comments
Post a Comment