Assalamualaikum,
Be a good and responsible Muslim. Be smart when bombarded with information which may be wrong, but cloaked up to make it feel right. Respect the law....
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada
diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada
Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan
dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: “MEMELIHARA KEAMANAN NEGARA”.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Keamanan dan keselamatan di negara kita adalah
berlandaskan kepada konsep ‘Rule of law’ dan kedaulatan undang-undang. Oleh itu
apabila keamanan dan kedaulatan negara diganggu gugat, maka setiap inci tanah air
ini perlulah dipertahankan mengikut undang-undang
negara. Sebagai sebuah negara yang berdaulat maka menjadi kewajipan kita sebagai rakyat
untuk memelihara kedaulatan dan keamanannya. Keamanan bermaksud
kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian dan kekacauan.
Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan
yang paling utama agama akan terus dilindungi. Keamanan adalah asas utama dalam
usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara. Sedarlah, inilah tanah air kita dan
tempat tumpah darah kita ini yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan
nadi kehidupan kita. Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingkan diri
sendiri sehingga keharmonian dinegara kita terancam, retak dan hancur. Allah
SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya didalam surah
al-An’am ayat 123:
Maksudnya: “Dan demikianlah Kami
adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan
tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari
dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya”.
Persoalan memelihara keamanan negara
adalah merujuk kepada sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan,
memelihara dan menjaga maruah tanah air kekal aman dan selamat. Islam
mengajar umatnya agar memelihara keamanan negara kerana ia sebahagian daripada tanda
keimanan. Namun, persoalan besar timbul, mengapakah terdapat segelintir rakyat
yang tidak bertanggungjawab dan cinta kepada negara sendiri serta sanggup
menimbulkan suasana yang tidak aman. Menurut pemerhatian mimbar, dalam
kehidupan masyarakat majmuk di negara ini masih berlaku salah faham yang
mungkin di dasari atas kepentingan diri, kaum serta pihak -pihak tertentu . Ianya mungkin digerakkan oleh golongan pelampau agama,
sensitiviti perkauman, taasub kefahaman, gejala sosial yang menggugat
kestabilan masyarakat dan ajaran pemikiran sesat serta perang saraf daripada
mereka yang tidak bertanggungjawab bagi mewujudkan ketidakharmonian dan
sebagainya. Ingatlah pesanan Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya fatawa
Ibn Taimiyah bahawa: “Kesejahteraan
umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka
bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong
menolong untuk menciptakan kesejahteraan
dan mencegah kesengsaraan.”
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Perkara asas yang telah diajar oleh Islam sehingga
berjaya memelihara keamanan dan menyatupadukan penduduk berbilang agama dan
bangsa adalah menyuruh umatnya melaksanakan keadilan. Keadilan yang dimaksudkan
di sini ialah keadilan kepada semua dengan tidak mengenepikan tanggungjawab dan
amanah fitrah kehidupan. Ingatlah bahawa keadilan itu bukanlah semestinya
membahagikan sesuatu itu secara sama rata atau sama banyak tetapi sebaliknya ialah
meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Maka usahlah terkeliru dengan propaganda
mereka yang tidak bertanggungjawab yang kononnya memperjuangkannya, akan tetapi
hakikat sebenar hanyalah demi kepentingan pihak-pihak tertentu. Firman Allah
SWT di dalam surah an Nisa ayat 58:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan
segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara
manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi
pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar,
lagi sentiasa Melihat.”
Dalam ayat ini, bersifat adil, telus dan saksama adalah
kewajipan setiap orang Islam. Justeru, menjaga keamanan kepada
negaranya sendiri merupakan satu amanah yang menghasilkan satu rasa tanggungjawab
yang membawa kesan baik dan positif terhadap perkembangan tamadun kemanusiaan
di atas muka bumi ini. Ini kerana jika manusia yang beramanah, maka sudah pasti
sesebuah negara itu merasa selamat daripada sebarang sekatan dan ugutan pihak
musuh.
Malangnya, kekacauan sebuah
negara pula menjadi dalil ketidakamanahan yang membawa kehinaan buat umat Islam.
Sifat amanah ada perkaitan dengan ketinggian keimanan seseorang, manakala sifat
khianat berpunca daripada kelemahan iman yang dimiliki. Renungilah
pesanan Mohamad Qutb dalam bukunya "Masyarakat Islam' menjelaskan terdapat
empat ciri jahiliyah iaitu: (1) Syirik dalam ibadah; (2) Wujud sikap menjauhi
agama Allah; (3) Wujud Taghut (penegak kesesatan) yang memujuk manusia
agar jangan mematuhi hukum Allah; dan (4) Menjatuhkan hukuman secara
tidak adil kerana mengikut hawa nafsu.
Sidang Jumaat Yang Dihormati
Sekalian,
Apa yang
jelas, sikap tidak kasih kepada negara, memporak perandakan negara, pasti memusnahkan
perpaduan kaum, dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan
bangsa dan negara. Bayangkanlah..apakah nasib dan masa depan negara jika wujud
golongan-golongan pengkhianat negara seperti ini?
Bolehkah kita hidup aman damai jika ada segolongan manusia yang tugasan
hariannya hanyalah meniup api permusuhan dan
memecahbelahkan hubungan baik antara kaum? Berwaspadalah kita kerana
golongan ini sanggup melakukan apa sahaja helah termasuklah menyebarkan
fitnah, mencipta kepalsuan dan bertopengkan pelbagai watak untuk mempengaruhi
manusia.
Mereka ini ibarat kata pepatah seperti “Gunting Dalam Lipatan”
yang akan membahayakan keselamatan rakyat dan negara. Yakin dan
percayalah, pihak pemerintah sentiasa melakukan yang terbaik demi memastikan
keselamatan dan keamanan
negara ini dan yakinlah kepada kewibawaan pasukan keselamatan dan undang-undang
negara kita. Ingatlah bahawa segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan
dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda perjuangan kita di
jalan Allah SWT. Inilah masanya, semua umat Islam dalam negara mesti bersatu
demi mempertahankan keamanan negara dan agama berdasarkan segala kemampuan yang
ada dan wajib menolak sebarang usaha dari mana-mana pihak yang cuba menyebabkan
perpecahan dan permusuhan. Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat
82:
Maksudnya:
“Orang yang beriman dan tidak mencampurkan
iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang
mendapat petunjuk.”
Sidang Jumaat Yang
Dihormati,
Mimbar
menyeru seluruh umat Islam sekalian sama-sama kita memelihara keamanan negara
dengan memupuk perpaduan sesama ummah. Jangan sekali-kali kita terpedaya dengan
mereka yang ingin menghuru-harakan keamanan negara, jangan kita terlibat dengan
agenda untuk merosakkan perpaduan ummah, janganlah kita menjadi seorang
muslim yang mencetuskan kekacauan, melakukan tindakan mencabar undang-undang
dan mengadu-domba sesama kita. Insafilah bahawa menjaga keamanan negara adalah
tanggungjawab bersama, ianya bukan datang bergolek tetapi adalah datang
daripada pengorbanan semua pihak samada rakyat atau pemimpin. Peliharalah
keamanan yang wujud di negara kita ini dengan sebaik mungkin.
Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang
berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak
lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan
syaitan yang menyesatkan. Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka
yang terikut dengan golongan ini diberi keinsafan dan berteduh dibawah payung
perpaduan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan di kalangan
kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan
agama, bangsa dan negara. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama
kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-A’raaf ayat 96:
Maksudnya: “Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.
Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab
seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”
Comments
Post a Comment